| Jalan untuk melakukan pembahagian
pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang
berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah
yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.
1. Ashabul-Furud
Golongan ini mengambil pusaka menurut
bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4,
2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau
nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan
kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.
2. Asabah
Merupakan golongan yang akan terima
baki setelah semua golongan (1) mendapat bahagian golongan asabah.
Terdapat 3 jenis asabah iaitu:
(a) Asabah Binafsih
(b) Asabah
Bil Ghoir
(c) Asabah Maal
Ghoir.
(a) Asabah
Binafsih
Pembahagian pusaka dengan jalan
menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang
lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada
12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki,
saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara
lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung,
bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa
saudara sebapa.
(b) Asabah
Bil Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan
menghabiskan semua harta, atau pengambilan semua baki untuk semua
perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang
iaitu: anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara
kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan.
(c) Asabah
Maal Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan
menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang
perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang
perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan
sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).
3. Dhawil-Arham
Golongan ini akan menggantikan golongan
(1) dan (2) setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak
menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan
ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding
yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka
kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan
simati. Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat)
iaitu: golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari
cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara
atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab
yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu:
Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.
(a) Hijab Nuqshon
Terhalang dengan mengurangi pembahagian
ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak
menjadi lebih sedikit, kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya.
Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak
atau cucu.
(b) Hijab Hirman
Terhalang dengan tidak menerima
pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih
dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta
pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara
lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.
|